Isnin, 13 September 2010

PELANCONG TIDAK BERMORAL: SALAH SIAPA?


Disamping kes pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi, media saban hari melaporkan kegiatan rumah urut, pelacuran dan GRO yang telah ditangkap. Perkara ini melibatkan warga asing terutamanya dari China disamping Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan tidak terkecuali warganegara Malaysia sendiri. Negeri Selangor,Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang adalah yang diantara negeri-negeri utama yang menjadi kegiatan maksiat ini termasuklah Kelantan yang juga tidak terkecuali dari kegiatan-kegiatan tidak bermoral ini.
Tetapi malangnya, walaupun tangkapan demi tangkapan dan serbuan demi serbuan telah dibuat berpuluh-puluh kali oleh pihak berkuasa namun tempat maksiat tersebut akan dibuka kembali tidak lama kemudian! Seolah- olah mereka tidak serik dan takut akan undang-undang yang dilaksanakan! Ironinya mereka yang ditangkap dan dihantar pulang akan kembali ke Malaysia dan meneruskan aktiviti yang sama! Dimanakah salahnya? Adakah terdapat kebocoran rahsia semasa serbuan dibuat, yang menyebabkan pengusaha tempat maksiat tersebut terlepas dari undang-undang atau terlepas dari didakwa?
Kita merasa amat muak apabila berkali-kali gambar berpuluh-puluh warga asing ini yang berpakaian tidak senonoh ditangkap pihak berkuasa yang di siarkan di suratkhabar dan ditayangkan sewaktu berita TV. Saban hari ada sahaja serbuan dibuat dan ditayangkan di TV. Adakah budaya sebegini yang kita mahu tayang dan dipertontonkan pada anak-anak kita? Tidak cukup lagikah dengan isu-isu membuang bayi secara berterusan? Negara kita juga telah cuba untuk dijadikan hub/pengkalan dadah antarabangsa. Apakah tugas pihak berkuasa cuma serbu, tangkap, dakwa, denda dan hantar pulang warga asing tersebut maka dianggap tugas mereka sudah selesai? Bagaimana pula pengusaha rumah urut dan pengusaha rumah pelacuran yang terdiri dari rakyat tempatan dan menjadi tauke kaya boleh terlepas tanpa didakwa? Esok atau lusa dengan segera mereka akan membuka semula tempat-tempat pelacuran dan yang tidak bermoral ini tanpa perlu rasa takut kerana “supply” senang diperolehi dengan kelonggaran visa kemasukan ke negara ini adalah terlalu mudah melalui VOA (kita bersyukur kerana VOA ini telah dibatalkan).
Apakah peranan Pihak Berkuasa Tempatan atau Majlis Daerah dan kerajaan negeri terutama di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat yang terus-menerus meluluskan pusat- pusat hiburan secara semberono?
Apabila ditinjau di Lapangan Terbang Tambang Murah atau LCCT terutamanya di sebelah malam, penerbangan-penerbangan dari Tianjin, Taipei dan Hong Kong adalah begitu kerap sekali. Berduyun-duyun dan begitu riuh sekali pelancong dari tempat-tempat ini datang dimana beberapa buah bas telah siap menunggu mereka bersama dengan agen pelancongan sekali! Kadangkala kita tertanya-tanya , apakah kesemua mereka ini pelancong yang sebenar yang membawa keuntungan pada negara kita atau lebih kepada yang memudaratkan?
Menteri Pelancongan telah menetapkan target yang begitu tinggi terhadap kemasukan kadar pelancong ke Malaysia bagi tahun ini dan tahun hadapan. Laporan dalam Utusan Malaysia pada 14 Ogos 2010 melaporkan bahawa Kementerian Perlancongan menyasarkan 2 juta pelancong Cina tahun ini dengan anggaran pendapatan kira-kira RM 3 billion. Kita amat bimbang adakah Kementerian lebih mengutamakan kuantiti pelancong berbanding kualiti? Apakah jumlah pelancong yang tinggi menunjukkan Malaysia adalah destinasi pelancongan pilihan dan kita boleh berbangga dengannya? Adakah Kementerian berkenaan lebih mementingkan pendapatan berbanding keselamatan Negara? Setakat manakah pihak berkuasa kita boleh menjamin kesemua pelancong yang masuk akan balik selepas visanya tamat? Kita amat bimbang jika jumlah pelancong yang masuk ke negara ini berkurangan, tetapi bukankah sepatutnya kita perlu bimbang terhadap jumlah pelancong yang masuk ke negara ini tinggi tetapi jumlah yang keluar berkurangan? Inilah yang terjadi di Malaysia sekarang. Ramai pelancong dari China, India, Afrika, Vietnam malahan Indonesia juga hilang apabila berjaya masuk sebagai pelancong ke negara ini. Kemanakah mereka ini pergi? Adakah mereka mendapat simpati dan disembunyikan oleh rakyat tempatan? Atau mereka memang bertujuan menetap di negara ini yang merupakan lombong emas?
Kita merasakan sudah sampai masanya semua agensi kerajaan terutamanya Polis, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri mengembeling tenaga untuk menyekat kebanjiran pelancong yang tak beretika ini,mencari mereka yang hilang dan membawa dalang-dalang yang terlibat kemuka pengadilan tanpa memilih bulu!

SAMAN EKOR: MAHU MENDIDIK ATAU MAHU MENGHUKUM?


Kita perlu melihat mengapakah saman atau saman ekor di kenakan kepada pengguna jalan raya. Sudah semestinya saman dikeluarkan adalah sebagai denda kerana kesalahan trafik atau lalu lintas. Ini adalah supaya kita sebagai pengguna jalanraya akur dengan undang-undang yang dilaksanakan. Walaubagaimana pun cara saman ekor dikenakan adalah perlu dipertikaikan kerana pihak polis menggunakan segala kreativiti yang ada bagi menghalakan kamera untuk menyaman pengguna secara bersembunyi disebalik tiang jejambat lebuhraya, dicelah-celah pokok atas bukit, ditebing- tebing lebuhraya atau jalan Persekutuan dan yang terbaru pengguna jalanraya diintip pula dari atas menara seumpama pondok di persisiran lebuhraya! Adakah kesalahan trafik dianggap suatu jenayah yang amat berat maka perlu kita memerangkap secara besembunyi dan diintip?
Mengapakah kamera untuk menyaman ini perlu disembunyikan untuk memerangkap pesalah trafik? Akibatnya tanpa disedarai kita akan menerima saman ekor selepas beberapa minggu malah beberapa bulan!Dimana kita ketika itu pun mungkin sudah tidak dapat diingat. Kita merasakan sudah sampai masanya pihak polis harus menyatakan dengan jelas lokasi kameranya dan papan tanda amaran adanya sekatan jalanraya. Adakan sekatan jalanraya selepasnya untuk terus menyaman pemandu yang terbukti salah masa itu juga tanpa menunggu berminggu atau berbulan –bulan!Dengan ini saman ekor tidak lagi diperlukan. Pihak polis haruslah telus dalam sebarang tindakan. Kita tidak tahu apakah dasar pihak polis menyaman pesalah trafik secara tersembunyi ini, adakah untuk mendidik dan beri pengajaran atau lebih kepada mahu menghukum pengguna jalanraya! Kita masih ingat suatu masa dahulu pesalah trafik telah ditangkap dirumah didepan keluarga dan digari kerana cuma kesalahan jalanraya!
Diluar negara, dengan mengambil beberapa contoh seperti di London, England dan Dublin, Ireland misalnya jika kesalahan pertama dilakukan kita akan dinasihatkan dan diberi amaran. Mereka tidak terus menghukum dan juga tidak wujud anggota polis yang bersembunyi dengan kameranya dicelah- celah tiang hanya untuk mengenakan saman ekor! Sesuatu yang baik dari luar negara perlu kita belajar dan ambil iktibar bagaimana mereka mengurangkan kadar kemalangan jalanraya dan mendidik pengguna jalanraya. Di Indonesia, dibandar besar seperti di Jakarta atau di Makassar,Sulawesi kenderaannya terlalu banyak dan bersesak –sesak sepanjang hari tetapi jarang berlaku kemalangan yang besar dan teruk. Di sana tidak ada saman ekor pun.
Kita ingin bertanya pihak berkuasa atau Jabatan Polis, apakah sejak saman ekor diperkenalkan beberapa tahun lalu, kadar kemalangan jalanraya telah berkurangan atau telah menurun? Kita tidak nampak saman ekor telah mengurangkan kadar kemalangan jalanraya di Malaysia malah saman ekor telah membebankan rakyat dengan kadar denda yang amat tinggi iaitu RM 300.00! Tidak cukup dengan itu, kini kita pula dibebankan, menyusahkan dan bertambah malang lagi dihukum pula oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) dengan menyenarai hitamkan pengguna jalanraya tersebut. Apakah dengan denda yang tinggi dan hukuman ini , kita yakin kadar kemalangan akan menurun dan pengguna jalanraya akan lebih berhemah? Tetapi kemungkinan yang wujud ialah mereka akan berada dijalanraya tanpa lesen dan cukai jalan!
Pihak berkuasa terutama Jabatan Polis harus mengambil pendekatan mendidik pengguna jalanraya dan bukan menghukum mereka dengan saman ekor dan denda yang amat tinggi dalam keadaan ekonomi yang merudum sekarang. Kita juga difahamkan terdapat berjuta ringgit saman ekor yang tidak dibayar kerana mereka tidak mampu. Pihak berkuasa perlulah bertimbang rasa dengan meminimakan denda ini kerana rakyat perlu didahulukan!
Pihak polis dan kereta peronda hendaklah sentiasa berada dan rajin meronda di jalan-jalan persekutuan dan lebuhraya –lebuhraya dilokasi-lokasi tertentu yang jelas supaya pengguna dapat merasai kehadiran mereka. Ini dapat mengekang pemandu- pemandu yang tidak berhemah , samseng jalanan dan mengurangkan kadar jenayah terutamanya dimusim perayaan seperti Hari Raya yang bakal menjelma. Nasihat dan teguran boleh terus dibuat jika berlaku kesalahan dan saman mungkin pilihan yang terakhir tetapi bukan saman ekor!

CUKAI TAKSIRAN SELANGOR AMAT MENGELIRUKAN


Tuntutan cukai taksiran negeri Selangor amat mengelirukan. Ini adalah kerana notis tuntutan tunggakan terus sampai kepada penghuni pada bulan Julai 2010 tanpa penghuni menerima tuntutan cukai untuk bulan Januari hingga Jun 2010! Notis tuntutan Julai hingga Disember 2010 diterima berserta dengan denda lewat bayar sebanyak RM 20.00! Yang menjadi muskilnya mengapa perlu kena denda sedangkan tuntutan bulan Januari hingga Jun tidak dihantar! Adakah kerajaan negeri Selangor hendak menyalahkan proses penghataran lewat atau kita perlu datang sendiri ke pejabat Daerah dan bertanya bila notis mahu dikeluarkan untuk cukai sendiri? Apakah kita harus membayar denda yang bukan kesalahan sendiri?
Kita juga amat pelik mengapa denda atau caj lewat bayar ini naik begitu mendadak dan berubah-ubah? Semasa kerajaan Barisan Nasional denda lewat hanyalah RM 1.00 mengikut seksyen-kecil (1) 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Malangnya semasa kerajaan Pakatan mengambil alih dengan mengunakan seksyen yang sama telah dikenakan denda sebanyak RM 15.45 untuk tahun taksiran 2009 dan pada tahun 2010 pula denda lewat telah bertambah kepada RM 20.00 mengikut tunggakan caj seksyen 147 pula! Walauapa pun alasannya mengenakan denda ini, mengapa denda dinaikkan dengan begitu mendadak dan berubah- ubah pada setiap tahun?
Kerajaan Pakatan bukan sahaja berjanji mahu menurunkan kadar cukai pintu dan menabur pelbagai lagi janji manis, tetapi tidak semua ditunaikan, malah kini rakyat Selangor berdepan dengan denda cukai taksiran yang amat membebankan dan naik berlipat kali ganda. Apakah kerajaan Selangor sudah kemaruk dengan hasil yang diperoleh dan mencari peluang mendenda rakyatnya jika terleka sedikit? Mungkin inilah konsep ‘negeri berkebajikan’ sebagaimana yang yang dilaung-laungkan dengan megahnya oleh PAS dan Pakatan Rakyat Selangor! Apakah yang PAS dan PKR buat untuk membela nasib orang Melayu dan Islam di Selangor setelah dua tahun berkuasa? Sedangkan DAP telah mengambil segala peluang yang ada untuk mengungkit hak-hak istimewa orang Melayu termasuk menghapuskan diskaun harta tanah untuk orang Melayu. Mungkin PAS dan PKR layak digelar jaguh dipentas ceramah tetapi tidak ada tindakan yang diambil, umpama tin kosong atau cakap tak serupa bikin! Inilah harga yang amat mahal yang perlu dibayar oleh sebahagian rakyat Selangor yang begitu teruja apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri Selangor!