Sabtu, 28 Mei 2011

UMNO PERLU TUBUH UNIVERSITI


Baru-baru ini saranan dari MP Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir berkenaan menubuhkan Kolej UMNO dan memberi biasiswa kepada yang memerlukan adalah sesuatu yang perlu disambut baik. Kita harus menyokong bukan sahaja untuk penubuhan Kolej tetapi juga terus menyokong sehingga sebuah universiti UMNO dapat ditubuhkan! Mengapa tidak? Jika MCA dan MIC mampu mempuyai universiti dan kolej tersendiri mengapa UMNO sebagai tulang belakang BN tidak boleh atau tidak berupaya? Apakah pandangan dari Mukhriz ini harus dipandang sepi? Kita tidak pun nampak walau sekelumit pun sambutan dari kalangan UMNO mahu pun para pemimpin UMNO yang lain berkenaan saranan ini.
Apakah setelah 53 tahun merdeka, UMNO yang diterajui oleh orang Melayu tidak mampu dan tidak berupaya mempuyai sebuah universiti sendiri? Adakah kita telah berpuashati dengan satu-satunya universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk orang Melayu seperti UiTM?
Pelajar Melayu kebanyakannya amat berharap untuk menyambung pengajian di IPTA kerana hanya beberapa kerat sahaja yang mampu membayar yuran untuk menyambung pengajian di IPTS. Cuba bandingkan peratusan pelajar Melayu yang belajar di IPTS dengan pelajar bukan Melayu! Umpama langit dan bumi!
Inilah masanya UMNO membantu anak-anak Melayu yang gagal mendapat tempat di universiti atau kolej-kolej lain untuk ditawarkan ke kolej atau universiti UMNO sendiri dengan menawarkan bisiswa atau pinjaman. Kita percaya UMNO mampu!
Universiti UMNO ini perlulah dimartabatkan menjadi universiti yang berkualiti tinggi dan berinovasi dengan menawarkan kursus-kursus sains, perubatan dan berteknologi tinggi! UMNO perlu berani menongkah arus demi untuk membela untung nasib orang-orang Melayu terutamanya dari kampung, kawasan luar dan pinggiran bandar serta tanah-tanah rancangan Felda yang selama ini terus menyokong kerajaan BN tanpa gagal!
Pembalasan yang setimpal perlulah diberikan kepada anak-anak Melayu ini untuk menjejak kaki ke menara gading. UMNO tidak perlu takut digelar rasis kerana kalau bukan UMNO, siapakah sekarang ini yang akan menolong orang-orang Melayu yang telah dikucar-kacirkan? Adakah PAS dan PKR akan membantu? Jauh panggang dari api!
Disamping itu UMNO juga perlu bertindak pantas memantau dan menolong keperluan pelajar-pelajar Melayu dalam hal mendapatkan biasiswa, pinjaman dan memperjuangkan bagi membolehkan mereka ini mendapat tempat di pusat pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara dan bukan hanya membiarkan urusan ini ditangani oleh pegawai dari kementerian atau pihak kerajaan sahaja.
Kita telah melihat MCA (sebagaimana laporan Utusan Malaysia pada 18 Mei 2011) begitu pantas telah menubuhkan badan khas untuk membantu pelajar Cina yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong. Kita difahamkan badan ini telah mendapat beratus e-mail dan surat dari ibu bapa dan pelajar!
Adakah kita sudah ada jawatan kuasa yang sebegini bagi membantu anak-anak kita atau sekurang-kurangnya ada tempat orang Melayu untuk mengadu?
Kita perlu ingat, majoriti orang Melayu masih sayangkan UMNO!