Khamis, 5 Januari 2012

AWAS BERBELANJA DI PASARAYA BESAR!

Ternyata DAP amat teruja dengan harga dan kualiti barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Rajinnya wakil rakyat mereka menyiasat kualiti barangan hanya kerana KR1M idea dan diurus selia oleh dua Kementerian Kerajaan Persekutuan. Memandangkan harganya amat murah dari pasaraya lain dan pesaingnya maka DAP mencari peluang segala kekurangan yang ada di KR1M untuk keuntungan politik sempit mereka! Mengapa tidak pula wakil rakyat mereka cuba menyiasat harga dan kadangkala penipuan yang dilakukan oleh pasaraya kecil dan besar yang telah wujud bertahun-tahun di Malaysia selama ini? Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan harga barangan harian yang melambung naik, ditambah lagi dengan nilai wang dalam tangan pula semakin mengecil, maka kita sebagai pengguna haruslah berhati-hati untuk berbelanja di pasaraya-pasaraya besar! Berdasarkan pengalaman yang bukan sekali tetapi berkali-kali bila membeli belah dipasaraya-pasararaya besar ini, beberapa penipuan telah dapat dikesan antaranya ialah: Harga yang dilabelkan pada barangan yang dibeli tidak sama dengan harga yang dibayar semasa dicetak dalam resit. Harga pada resit adalah lebih tinggi dan kadangkala tidak masuk akal! Harga yang dilabelkan pada barangan tertentu telah dikurangkan dengan harga yang amat rendah (untuk habiskan stok lama) tetapi harga yang dibayar semasa dicetak masih lagi pakai harga asal dengan harga yang mahal! Harga diskaun barangan terpilih dipamerkan pada rak tetapi bila dibayar dan dicetak dalam resit, ia masih menggunakan harga lama sebelum diskaun! Barangan berjenama sepert i minuman bertenaga atau kopi segera misalnya terdapat tawaran istimewa jika dibeli dalam bungkusan yang lebih besar dan tercetak lebih jimat dari membeli bungkusan yang kecil. Sebaliknya jika dibuat pengiraan semula, dengan membeli bungkusan kecil adalah lebih menjimatkan! Kadangkala terdapat harga diskaun/murah yang dipamerkan pada rak untuk barangan tertentu tetapi sebaliknya barang atau jenama lain yang diletakkan. Pengguna menjadi keliru dan tertipu bila membuat pembayaran kerana harga dan tempat letak barang tidak dikemaskinikan! Terdapat juga harga barangan yang dilabelkan tidak sama apabila disemak dengan mesin penyemak harga! Biasanya harga lebih tinggi dan amat berbeza sekali! Kadangkala terdapat dua kali cetakan barangan yang sama dalam resit bayaran. Kadangkala sama ada ianya disengajakan atau tidak, telah dimasukkan satu atau dua harga barangan yang tidak di beli dalam resit bayaran kita! Barangan yang dijual di pasaraya besar kadangkala harganya jauh lebih tinggi daripada apa yang kita beli di kedai runcit! Oleh itu kita mesti rajin membuat tinjauan mengikut harga patut dan mampu beli. Penipuan ini sama ada disengajakan atau tidak adalah sesuatu yang amat merugikan pihak pengguna. Pihak pengusaha atau penyelia pasaraya tersebut jika kita dapat kesan kesilapan dan penipuan ini mereka hanya memohon maaf dan dengan selamba membayar balik baki wang yang terlebih bayar tanpa nampak ada nada kekesalan! Seolah-olah ini adalah perkara biasa bagi mereka! Apakah yang akan terjadi jika pula kalau kita tidak menyemak semula barang yang telah dibeli? Bagaimana pula pengguna atau pelanggan yang telah membayar tanpa disedari barangan yang mahal atau membayar untuk barangan yang tidak dibeli oleh mereka? Adalah dinasihatkan pengguna berhati-hati semasa berbelanja dengan kadar yang banyak dipasaraya besar. Sentiasa menyemak harga dengan mesin penyemak dan mengambil sedikit masa untuk menyemak semula harga semua barangan yang dibeli sebaik sahaja membuat pembayaran dikaunter sebelum pulang ke rumah! Kita haruslah menjadi pengguna yang bijak supaya penipuan ini dapat dielakkan!! Kepada DAP, kita syorkan mereka supaya menyiasat pasaraya –pasaraya gergasi ini sebagaimana mereka menyiasat KR1M yang mana banyak melibatkan pengusaha kecil Melayu dan bumiputera dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).