Khamis, 17 Januari 2013

KALIMAH ALLAH : HENTIKAN POLEMIK POLITIK MURAHAN !

Kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam amat resah dan gundah gulana  apabila isu kalimah Allah ini ditimbulkan semula oleh DAP untuk keuntungan politik murahan mereka. Ini bertambah kusut lagi apabila isu ini dipanaskan lagi oleh PAS dan PKR  yang menyokong kalimah ini digunakan dalam kitab Bible berbahasa Melayu! Kita juga ingin bertanya kenapa  DAP begitu teruja sangat  mahu kalimah ini disebut dalam kitab Bible yang berbahasa Melayu sahaja? Mengapa tidak dalam bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau Mandarin? Kita juga ingin bertanya, jika  dibandingkan  dengan bangsa lain, berapakah peratus orang  Melayu di Malaysia ini yang sudah memeluk agama Kristian untuk diberi penghayatan kalimah ini? Sehingga begitu galak sekalikah DAP melalui Setiausaha Agungnya  Lim Guan Eng mahu menggunakan kalimah ini dalam Bible berbahasa Melayu? Dimanakah logiknya?
Nampaknya mereka bersungguh-sungguh menyokong  penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam, kita juga ingin bertanya kepada Pakatan Rakyat apakah mereka juga bersetuju jika Prinsip Rukun Negara yang pertama ditukarkan kepada ‘Kepercayaan kepada Allah’ daripada ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’?
Kita mungkin sudah dapat membaca maksud dan tujuan yang tersirat oleh DAP ini demi keuntungan politik mereka ditambah lagi dengan pilihanraya ke-13  yang semakin hampir, mereka sedang mencari  isu bagi mengelirukan rakyat dengan isu-isu yang sensitif. Apakah mereka mahu menimbulkan suatu kecelaruan fikiran dan menguji  fahaman ketuhanan orang Melayu yang hampir seratus-peratus beragama Islam? Manakala PAS dan PKR pula menjadi pak turut dan sanggup mengorbankan prinsip dan perjuangan parti demi untuk memenuhi matlamat dan mimpi pemimpin-pemimpin mereka  ke Putrajaya! PAS dalam Pakatan ibarat melukut di tepi  gantang. PAS telah  melupakan perjuangan negara Islam dan Hudud. PAS juga amat berpuas hati kerana bersetuju kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam dan bolehlah nanti bersama-sama mereka dalam Pakatan melaungkan ‘takbir‘!
 Setelah isu ini lenyap dua tahun lepas dan kita telah pun mencapai kemerdekaan  yang ke-55 tahun, mengapa baru sekarang isu sensitif ini ditimbulkan lagi oleh DAP? Apakah keamanan dan keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini di Malaysia dengan kebebasan beragama dicemburui oleh mereka ini yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih? Kita tidak pula pernah masuk campur dalam urusan agama lain. Apakah tolak ansur dan tolenransi beragama orang Melayu dan Islam selama ini telah dianggap sebagai suatu kelemahan yang boleh diperkotak-katikan? Apakah ketahanan dan kekuatan serta kesatuan orang Melayu sekarang sedang diuji? Siapakah yang beruntung dengan perpecahan orang Melayu ini? Adalah amat malang sekali akibat dari perpecahan ini, kadangkalanya kita kelihatan seolah-olah seperti mengemis kepada kaum lain untuk menagih undi!
Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keamanan menyeru semua pihak menghentikan polemik dan isu kalimah Allah ini. Janganlah kalimah Allah ini dijadikan bahan politik murahan. Kalimah Allah adalah ekslusif untuk agama Islam sahaja sebagaimana yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa kebangsaan, jadi mengapa pula ada pihak bukan Islam mahu mencampuri  urusan ini? Kita tidak mahu nanti isu ini menjadi bertambah rumit apabila kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam maka akan adalah sebutan nama seperti  ‘Allah Jesus’  dan  akan  terpampanglah kalimah Allah didalam dan diluar gereja-gereja dan rumah rumah ibadat lain yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan berlaku!! Siapakah yang akan bertanggungjawab dan menghalangnya nanti?
Sebelum kekusutan bertambah parah dan menjadi kudis, kita memohon isu ini ditutup dan tindakan sewajarnya diambil  kepada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu sensitif keagamaan dan mencabar perlembagaan Negara. Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlulah diambil sebagai iktibar bukan sahaja di Selangor tetapi diseluruh Malaysia. Tindakan segera perlu diambil sebelum cacing naik ke mata dan jangan sampai nasi menjadi bubur kerana rakyat Malaysia terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk mendapat keamanan dan keharmonian semula!