Selasa, 28 Oktober 2014

Iktibar Dari Cambodia


Sebaik sahaja  kami  tiba di hadapan hotel penginapan di Phnom Pehn kami dihampiri oleh beberapa orang kanak-kanak dan seorang ibu yang menggendong anak kecil dan seorang  lagi kanak-kanak berumur  lebih kurang empat tahun menadah tangan meminta sedekah! Sambil meminta dan merayu dengan bahasa Khmer yang saya tidak faham. TPakaian anak-beranak ini amatlah daif. Itulah gambaran pertama yang kami lihat setibanya di bandaraya Phnom Penh, ibu Negara Cambodia! Peperangan dan rejim Polpot telah menyebabkan negara mereka menjadi miskin!

Esoknya dalam perjalanan ke kampong Rom Jeak/Tom Bea daerah Kompong Cham untuk ibadah korban yang mengambil masa lebih kurang lima jam
menaiki van dan jalan tanah merah yang amat tidak selesa dan berlopak. Di kiri dan kanan terdapat  rumah-rumah papan yang amat daif sekali. Rumah-rumah ini dibina sepanjang jalan tanpa tingkap dan tiada saluran air paip dan kuasa elektrik! Saya terkenang keadaan perkampungan kita pada tahun lima puluhan dan enam puluhan yang ada sedikit persamaan. Bahasa yang digunakan disini termasuk semasa khutbah Hari Raya Haji adalah dalam bahasa Khmer yang terdapat banyak perkataan Melayu dan Arab diguna pakai. Orang-orang kampung disini amatlah ramah dan amat menghormati kami (seperti orang kampung kita pada masa lalu). Mereka juga mengaku mereka adalah orang Melayu, Melayu Cham(Champa). Menurut sejarahnya, memang wujud Kerajaan Melayu Champa!
Apa yang dimaklumkan  oleh pemandu pelancong, masjid dan surau yang dibina disini atas inisiatif mereka sendiri  dan juga hasil dari  kutipan derma. Kami juga difahamkan rakyat dan dermawan dari  Malaysia  ramai yang datang membantu. Alhamdulillah. Kerajaan mereka pula difahamkan tidak menghulurkan sebarang bantuan!
Disebabkan tidak adanya kuasa elektrik, maka  semua lembu yang  dikorbankan akan dibahagikan kepada semua penduduk kampung sama rata untuk dimasak pada hari yang sama! Kasihan. Kami juga dapat merasai nasi putih dan daging goreng “bodoh” (tanpa sebarang rempah atau perencah).
Kita sebagai rakyat Malaysia amat bertuah hidup dalam negara yang aman damai. Anak-anak kita pula dapat hidup dalam persekitaran yang mewah sehingga ramai kanak-kanak kita yang kelihatan obesiti!

Disamping sekolah kebangsaan, masjid dan surau, kerajaan kita juga membantu membina  sekolah jenis kebangsaan. Kerajaaan juga memberi bantuan dan membina kuil dan tokong tempat beribadat  orang bukan beragama Islam walaupun negara ini majoriti pemerintahnya adalah orang Melayu dan agama rasminya adalah agama Islam! Kita juga dapat melihat sekiranya minoriti Islam berada dibawah pemerintahan bukan Islam belum tentu lagi peduduk yang beragama  Islam akan terbela. Sebaliknya jika minoriti bukan Islam berada dibawah naungan pemerintah Islam kepentingan mereka akan terjaga dan terbela! Namun begitu di Malaysia masih lagi ada suara sumbang yang  mengatakan kerajaan masih tidak adil, sehingga kalimah Allah pun mahu dipertikaikan. Pesta arak pula mahu diperbesarkan dan dicanangkan tanpa mengambil kira perasaan dan sensitiviti orang Islam! Inilah dikatakan umpama diberi betis hendakkan peha! Kita cadangkan mereka ini termasuk Melayu yang menyokong pesta arak ini atas dasar politik dan konon kesamarataan pergilah melawat bumi Cambodia!Baru tahu bumi ini tinggi rendah!
Sepatutnya mereka harus sedar dimana bumi dipijak,di situlah langit dijunjung!!