Ahad, 10 Julai 2011

TIDAK MALUKAH DIA?

Kadangkala kita terasa amat malu jika keterlanjuran kita dan moral rendah kita diketahui dan dipertotonkan oleh khalayak umum. Malu pada isteri, malu pada anak, malu pada saudara-mara, rakan-taulan malah malu kepada rakyat jelata kalau kita seorang pemimpin. Tetapi yang peliknya ada pemimpin yang tak tahu malu malah tak takut dosa! Fenomena inilah yang sekarang telah melanda negara kita ini malah penyokong tegar, pemimpin politik, ulama dan tok guru juga terlibat sama mempertahankan pemimpin tersebut. Malangnya lagi isteri dan anaknya juga turut memejamkan mata diatas keruntuhan moral ini. Adakah mereka juga tidak takut akan dosa dan tidak merasa malu mempertahankan pemimpin yang dipertikaikan kerendahan moralnya ini? Malah boleh dikatakan inilah krisis moral pemimpin yang paling teruk dalam sejarah Malaysia moden.
Demi kelangsungan dan serakah politik, kita tidak hairan dengan sokongan yang tidak berbelah bagi ini boleh berlaku kepada pemimpin PAS, parti yang suatu masa dahulu ingin memperjuangkan negara Islam sejak sekian lama. Parti yang dilihat umum parti yang ingin mendaulatkan hukum Hudud dan undang-undang Islam berdasarkan Al- Quran dan hadis dalam sebuah negara Islam!
Untuk membunuh parti orang Melayu iaitu UMNO dan membenamkan harapan kesatuan Melayu, PAS sanggup dengan sekelip mata telah menukar status perjuangannya kepada negara berkebajikan atau negara ‘welfare’! Semata-mata untuk meraih laba dan sokongan dari pengundi-pengundi Cina dan India dari DAP dan PKR yang belum tentu mahu mengundi dan berpihak kepada calon mereka! Mereka secara terang-terangan telah membakar jambatan perpaduan diantara orang Melayu sebelum sampai ke penghujungnya.
Dalam masa yang sama, kita juga telah melihat satu demi satu pemimpin luar negara yang tumbang dan meletak jawatan atau mengundurkan diri dari jawatan-jawatan mereka bila isu moral dan seks mereka terdedah seperti di Turki, Amerika, Indonesia malah IMF sendiri yang mana suatu masa lalu dekat dihati pemimpin ini. Mereka merasa teramat malu dan amat bertanggungjawab diatas perilaku dan kecelaruan moral mereka! Mereka tidak pula menyeret rakyat berdemonstrasi di jalanan seperti pemimpin pembangkang ini kononnya atas nama ‘Bersih’ bagi menutup dan bersekongkol dengan keruntuhan moralnya. Mereka inilah kaum lelaki yang sebenarnya, pemimpin yang ’gentleman’. Sebaliknya adalah sungguh malang, ini tidak berlaku di Malaysia.
Pemimpin ini di Malaysia yang disyaki terlibat dengan isu moral masih bergerak bebas tanpa segan dan silu atas dasar kononnya ada konspirasi politik keatasnya! Di pentas-pentas ceramah politik beliau masih mempertahankan dirinya konon bersih dan dianiaya! Walaupun seluruh dunia telah menyaksikan video yang dikaitkan dengan tingkahlakunya! Malah pakar dari Amerika juga sudah mengesahkan ketulenan video tersebut. Tidak malukah dia?
Jika benarlah ini berlaku, tidakkah dia merasa sekelumit pun dosa yang ditanggung kalau pun perasaan malu sudah tiada dalam kamus hidupnya!
Kita amat berharap kebenaran akan terserlah juga akhirnya.