Khamis, 30 Mei 2013

PARTI TUNGGAL- SIAPA YANG UNTUNG?



Ura-ura mahukan satu parti politik sahaja,sebagaimana yang dilontarkan oleh  YAB Muhyiddin  Yassin perlu dibuat kajian  yang amat teliti, mendalam dan serius. Cadangan ini telah kita ketahui telah lama disarankan oleh parti Gerakan setelah mereka kalah dalam PRU 12. Kita sebagai orang Melayu dan parti UMNO khasnya haruslah memikirkan dari segi untung ruginya jika satu parti sahaja diwujudkan iaitu Barisan Nasional (BN). Sudah tentu tiada lagi UMNO, MCA, MIC, Gerakan , PBB dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak ! Parti-parti ini umumnya berjuang dan berpaksikan kepada  satu kaum atau bangsa dan aspirasi perjuangan bangsa sejak sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia, adakah cadangan ini baik atau menguntungkan orang Melayu dan Islam? Jika kita mahu mengambil contoh negara lain atau negara jiran terdekat seperti Thailand dan Filipina, mereka terdiri dari kaum yang sama atau setidak-tidak nya mereka berfahaman  dan menganut agama yang sama. Di negara kita amat berbeza sekali  kerana majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, manakala kaum manoriti orang Cina dan India pula  yang berfahaman dan menganut  agama yang berbeza.
Keputusan  PRU 13 yang lepas kita telah menyaksikan  berlaku Tsunami orang Cina mengundi  pembangkang terutama DAP. Parti komponen BN terutamanya MCA dan Gerakan telah  kalah teruk. Jika  tanpa sokongan orang Melayu yang menjadi  majoriti senyap atau  ‘silent majority’ ini maka parti UMNO  pun  sudah lama ‘bungkus’. BN  pun  pasti rebah dan tumbang  menyembah bumi  jika tanpa bantuan orang Melayu,bumiputra Sabah/Sarawak dan segelintir orang India.
Jadi kita rasa jika sistem satu parti atau parti tunggal  dipersetujui maka yang untung bukanlah orang Melayu tetapi  orang bukan Melayu atau orang Cina dan India !Sejak PRU yang pertama selepas  merdeka , UMNOlah yang mempunyai calon ADUN dan Parlimen yang ramai kerana mewakili majoriti penduduk Malaysia. Wakil UMNOlah yang menjadi majoriti dalam parlimen dan dewan undangan negeri. Wakil UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri, Timbalan  Perdana Menteri dan  majoriti Menteri  Menteri kerajaan BN. UMNO mendominasi  dan menjadi tulang berlakang  parti Perikatan atau Barisan Nasional sekarang! Jika hanya ada parti tunggal adakah perkara ini akan diteruskan? Platfom manakah  mereka mahu berkumpul dan bincang  hal agenda Melayu seperti persidangan tahunan UMNO? Adakah kita sudah menganggap agenda bumiputra sudah selesai? Cukup setakat ini sahaja kita tolong orang Melayu? Tahap ekonomi Melayu sudah kah mencapai 30 peratus?  Sudah tertubuhkah universiti berteknoloji  tinggi untuk anak anak  Melayu atau universiti UMNO? Kita jangan lupa MCA dan MIC telah lama ada universiti dan instutusi pengajian tinggi mereka sendiri! Agenda mereka mungkin sudah selesai, kerana hampir keseluruhan perniagaan dinegara ini telah dikuasai mereka!Apakah kita sudah mahu mentalkinkan  UMNO sebagaimana yang ditunggu tunggu oleh DAP?
Tanpa UMNO, adakah orang Melayu perlu pergi mengadu  kepada Perkasa atau  NGO-NGO Melayu lain? Atau orang  Melayu akan kecewa dan  beralih angin ke parti lain seperti  Pas pula atau menubuhkan sebuah  parti  Melayu  baru? Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pemimpin politik kita sebelum keputusan muktamad diambil. Beberapa tabung uji perlu dikaji dan diselidik dalam makmal yang akan ditubuhkan.
 Patut di ingat dengan adanya satu parti maka pihak yang kalah dan minoriti akan sentiasa terselamat dan menjadi penumpang(passenger) kepada parti lain yang lebih dominan ia itu UMNO! Sekiranya  wakil kaum ini tidak menang, tiada siapa pun boleh mempertikaikan kerana  yang kalah adalah calon dari parti yang sama? Jadi bila susunan kabinet jemaah menteri  dibuat  maka orang  Cina dan India akan juga dilantik mengikut kouta yang telah dipersetujui walau pun mereka kalah teruk! Bagaimanakah pula jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Jika telah dalam satu parti maka orang Cina dan India juga  akan berminat jawatan  jawatan tersebut. Apa alasan kita jika mengatakan mereka tidak layak? Sedangkan mereka juga berada dalam parti yang sama? Apakah perlembagaan  Malaysia juga nanti perlu dipinda? Kita juga harus ingat adakah telah terjamin jika kita adakan parti tunggal, orang Cina akan mengundi BN nanti pada PRU 14? Begitu juga orang Melayu, adakah  mereka akan terus meyokong BN jika bukan lagi atas nama UMNO?
Kita takut nanti sejarah akan berulang lagi sebagaimana  Dato’ Onn  Jaafar mahu membuka UMNO untuk bukan Melayu yang ditentang  oleh orang Melayu. Kita mahu perkara ini dikaji dari segi untung ruginya orang Melayu dan demi survival politik Melayu yang sekarang sedang dirobek  sedikit demi sedikit dan janganlah kita terlalu teruja untuk menjadi parti tunggal.Kita juga perlu melihat kenapa Pakatan yang didominasi oleh  DAP sehingga sekarang masih tidak mahu mendaftar sebagai satu parti !Mungkin mereka telah nampak atau tercium bau kesulitan  dan kerugian yang bakal menimpa! Oleh itu  janganlah   kita terpengaruh dengan desakan demi desakan sedangkan kita orang  Melayu  dalam PRU 13  lalu di pihak yang menang! Mana tahu,  inilah yang mereka mahu? Janganlah pula seperti kata pepatah Melayu, yang dikelek  tak dapat, yang dikendong pula  berciciran!

Sabtu, 25 Mei 2013

PERKUKUHKAN AGENDA MELAYU PASCA PRU 13

Demam PRU13 masih belum kebah dan masih membara. Kaum Cina hampir secara keseluruhannya telah beralih untuk menyokong parti DAP. Merekalah yang sebenarnya rasis bukan orang Melayu dan bukan UMNO! Mulai sekarang kita ingin mengunjurkan pada kerajaan lebihkanlah masa dan tumpuan kepada orang Melayu ini terutama yang berada di kampung, pinggiran bandar, FELDA, Bumiputera  Sabah/Sarawak  yang mendukung UMNO dalam PRU 13 lepas, jika tidak Barisan Nasional  telah tumbang dan rebah di bumi tercinta ini. Mungkin penyokong DAP  telah lupa kepada kuasa yang ada pada ‘silent majority’ ini. Kita juga tidak lupa kepada kaum India yang turut membantu!
Peristiwa yang berlaku sebelum  5.5.2013 haruslah dibuat pengajaran dan sempadan bertoleransi yang berpatutan dan menjadi iktibar yang tidak dapat di jualbeli lagi. Kita amat kasihan kepada Dato’ Najib  yang bekerja keras dan bertungkus lumus cuba  memenangi  hati nurani kaum Cina. Dari memakai baju merah  kebudayaan Cina pada sambutan Tahun Baru Cina yang lepas  hinggalah bersama sama mereka dan pemimpin MCA dan Gerakan  mengaul  bihun ‘Yee Sang’ dimana-mana sahaja tanpa jemu  bila ada perjumpaan dengan mereka! Gambar Najib berpakaian Cina ini dapat dilihat digantung dan dipaparkan  diserata ceruk bandar bagi mengucapkan ‘Gong Xi Fa Chai’. Sesuatu yang tidak pernah dan belum pernah  dilakukan oleh  Najib  mahu pun semasa   orang Melayu  dan Islam menyambut Hari Raya Puasa! Malangnya, ini  tidak pula berlaku dimana pemimpin MCA atau Gerakan yang begitu galak ingin berpakaian Melayu semasa sambutan Hari Raya Puasa?
 Begitu juga kita jangan lupa dan  lepas pandang jika ada iklan atau promosi dasar kerajaan atau sebagainya di RTM, TV3 atau Astro maka muka kaum Cinalah yang ditojolkan dahulu, diikuti oleh kaum India dan akhir sekali barulah orang Melayu. Mereka lebih diutamakan dan ditonjolkan  bagi mejayakan  dan merealisasikan  konsep  1 Malaysia sungguhpun  orang Melayu adalah lebih dominan dan menjadi kaum majoriti!
 Kita kadangkalanya rasa sebak di dada, rasa terkilan dan rasa  terpinggir, adakah kita perlu berkorban sejauh ini dan sehingga maruah tercabar demi  untuk menawan hati mereka? Bantuan  apakah yang tidak lagi diberikan kepada mereka? Menambah bilangan dan baikpulih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sudah pun dilakukan. Menambah guru bahasa Mandarin di SJKC juga sudah dilaksanakan. Tidak mahu guru Melayu mengajar di sekolah mereka juga sudah dikuatkuasakan. Naik taraf  kolej Cina  ke Universiti juga telah dijayakan. Mengiktiraf ijazah universiti di Taiwan dan China juga sudah dibuat. Menambah bilangan biasiswa kerajaan untuk pelajar Cina juga sudah. Menambah anggota polis, tentera dan pegawai kerajaan juga sudah. Menjadi orang yang terkaya di Malaysia juga sudah. Malah menjemput penyanyi  ‘gangnam style’ yang tidak pernah berlaku pun sudah dan lagi dan lagi, banyak lagi ! Jadi,  mau apa lagi  mereka ini?
Kita amatlah berharap kerajaan selepas  5.5.2013 membuat pusingan ‘u’ dan  membuka sedikit ruang keperihatinan kepada pengundi Melayu/bumiputra  yang  kuat dan tegar  menyokong  UMNO ini. Kita syorkan kerajaan BN paska PRU 13 melaksanakan:
1) Penubuhan Universiti  UMNO yang berteknologi  tinggi!  Kenapakah kita masih teragak-agak untuk menubuhkan Universiti Melayu atau  Universiti  UMNO? UMNO sebagai tulang belakang BN perlu mentadbir universiti ini sendiri bagi menampung keperluan anak-anak Melayu  kepusat  pengajian tinggi. Kita tidaklah perlu  mengharapkan  bantuan dari kerajaan sahaja. Jika MCA dan MIC  telah lama mengeluarkan beratus malah beribu siswazah mereka  dari  kolej/universiti  mereka sendiri mengapa tidak UMNO?
2) Satu juta Rumah rakyat yang akan dibina ,berilah keutamaan dan peratusan yang lebih  kepada orang Melayu  terutama yang berada di bandar ,ini juga akan mengalakan mobilisasi kaum, memecahkan monopoli  satu kaum dan menambah  bilangan pemilih  Melayu semasa mengundi dikawasan bandar!
3) Membantu, melatih dan peluang perniagaan kepada  anak-anak muda Melayu  terutama dibandar untuk menceburi perniagaan komputer dan telefon bimbit dan gejet komputer/telefon yang sekarang hampir seratus peratus dimonopoli oleh  anak muda  Cina! Lihatlah di Imbi Plaza dan di Pertama kompleks  di Kuala Lumpur.
4) Menambahkan bilangan industri dikampung dan membina lebih banyak Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) dan cawangan UITM di luar Bandar termasuk di Sabah/Sarawak.
5) Secara beransur-ansur hapuskan sekolah  vernakular  yang menjadi punca  kepada  pemisahan budaya, sosial dan perbezaan  bahasa. Wujudkan hanya satu aliran iaitu sekolah kebangsaan! Jika mahu masukan pelajaran bahasa Mandrin dan Tamil supaya nanti anak anak  Melayu  boleh membaca akhbar Cina atau Tamil pula!
6) Mencari satu mekanikal bagi membantu anak muda  Melayu  dan golongan pertengahan di bandar yang bekerja  dan berpendapatan melebihi RM 3,000 kerana mereka tidak  menikmati  BR1M. Kos sara hidup dibandar amat tinggi, Itulah mereka terpengaruh dengan  janji  Pakatan mahu turun minyak disambut walaupun kita tahu ini mustahil dibuat.
7)  Mengambil alih atau bantuan secara kekal  dan berterusan kepada sekolah sekolah tahfiz dan agama harian untuk mendidik anak Melayu Islam menjadi professional yang hafiz supaya mereka sentiasa menyokong dasar kerajaan  bagi mengelak  mereka ini disogok unsur unsur  negatif  dan membenci pemimpin negara  sejak dari kecil dan tadika lagi!
8)   Penyatuan UMNO dan PAS adalah pasti dan  patut disegerakan bagi penyatuan dan servival umat Melayu.


Selasa, 7 Mei 2013

KALU LAIN KALI, SOLI LA!!!

T
Tahniah dan Syabass Najib  jadi PM  ke 6.Perlu ingat tanpa pertolongan Melayu UMNO dan Melayu/Bumiputera Sabah/Sarawak BN akan terus kecundang !!!!Najib sila ambil pengajaran keatas pembelotan kaum Cina yg beramai ramai mengundi untuk DAP sampai  berapa menteri, ,ketua menteri dan menteri besar gugur!
Bela dan sokonglah bangsa Melayu dan bumiputera ini tanpa alpa.Jangan sampai anak mati kelaparan kerana kera dihutan yg disusui!!!




Inikah warga negara Malaysia? cukup kurang ajar menterbalikan bendera Malaysia!




Mahu apa lagi? cukup ini kali saja...lain kali,soli laaa!!!

Sabtu, 4 Mei 2013

JANGAN SALAH PILIH!



Kalau zaman dahulu sudah lama mereka ini meletak jawatan atas rasa malu, berdosa, maruah keluarga tercalar  dan sedar diri. Namun pada zaman sekarang dimana komunikasi  yang serba canggih dengan ‘Ipad’, ’Iphone’ dan segala  macam  alat elektronik,  penafian demi penafian terus dibuat tanpa rasa kesal  dan malu! Inilah yang terjadi kepada pengamal politik negara kita sekarang, baik pemimpinnya mahupun pengikutnya. Seperti kata bidalan ‘jika guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari!’ Kita masih lagi ingat diawal tahun 70’an  kes seorang pemimpin politik pembangkang yang  hanya kerana  berjoget  sahaja dalam suatu pesta  telah dikatakan melakukan kesalahan dan menjatuhkan maruah parti sehingga diarah meletakkan jawatan dan dipecat!! Begitu juga peristiwa yang berlaku pada tahun 1984 dimana seorang Menteri Besar sebuah negeri di utara  tanah air diminta meletakkan jawatan kerana  berlagak dalam suatu majlis makan malam dengan berpakaian sebagai pelakon ‘montoya del monte’ seperti  dalam salah satu siri tv terkenal masa tersebut.
Kalau dibandingkan kesalah-kesalahan ini dengan kesalahan moral pemimpin sekarang, amatlah kecil umpama langit dengan  bumi! Apa yang ingin kita bangkitkan ialah betapa beraninya pemimpin dan pengikut parti-parti politik dahulu berbanding dengan pemimpin dan pengikut tegar parti politik sekarang berkenaan isu moral. Pemimpin parti politik dahulu akan mengambil tindakan tegas ke atas ahlinya yang bermasalah demi menjaga maruah dan kredibiliti partinya. Mereka berjuang dan bertindak tanpa takut dan ragu-ragu. Tidak seperti sekarang dimana pelaku kesalahan terang-terangan dilindungi parti dan para pemimpin  parti yang melakukan kesalahan pula menafikan kesalahan moral yang dibuatnya walaupun hampir seratus peratus buktinya talah dinyatakan dengan jelas. Kalau di luar negara, pemimpin sebegini akan segera berundur atau meletak jawatan lihat sahaja apa yang telah berlaku di Turki dan Indonesia.
Yang lebih tidak bermoral lagi ialah mereka cuba menyalahkan pula pihak lain termasuk media massa  atau musuh politik mereka dengan menyaman dan dituduh sengaja mengada -adakan cerita. Perkara memutar belitkan isu sebegini tidak berlaku di zaman dahulu. Pemimpin dahulu lebih ‘gentlemen’, berani  dan yang paling penting bukan seorang  yang penakut! Kita juga kadang-kadang terfikir mengapakah pemimpin yang tidak bermoral sebegini masih lagi disokong oleh segelintir pengikut tegar, sedangkan media elektronik yang canggih sekarang dengan pita videonya telah dapat membuktikan sesuatu kes itu benar berlaku dan sahih! Mungkinkah mereka ini telah menganggap kes  atau isu moral sebegini adalah  perkara  biasa dan ini adalah hak individu yang bebas tidak boleh diganggu dalam sistem demokrasi dan terbuka?  Inilah juga yang sedang dan cuba  diperjuangkan oleh gerakan ‘Bersih’ yang bersekongkol dengan  Pakatan Rakyat. Inilah juga yang cuba diperjuangkan oleh perjuangan ‘lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) termasuk NGO yang bersekutu dengan mereka!
Jika inilah pandangan masyarakat kita sekarang dan pengikut tegar pemimpin parti politik ini. Maka akan kucar-kacirlah masa depan masyarakat dan hala tuju generasi muda kita. Akan hancurlah moral anak bangsa kita dimasa hadapan. Kita harus menolak pemimpin-pemimpin  yang berkonsepkan’ matlamat menghalalkan cara’. Kita juga perlu ingat bahawa kita harus membayar dengan  harga yang amat mahal jika kita tersalah langkah memilih pada PRU ke13 nanti! Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Khamis, 17 Januari 2013

KALIMAH ALLAH : HENTIKAN POLEMIK POLITIK MURAHAN !

Kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam amat resah dan gundah gulana  apabila isu kalimah Allah ini ditimbulkan semula oleh DAP untuk keuntungan politik murahan mereka. Ini bertambah kusut lagi apabila isu ini dipanaskan lagi oleh PAS dan PKR  yang menyokong kalimah ini digunakan dalam kitab Bible berbahasa Melayu! Kita juga ingin bertanya kenapa  DAP begitu teruja sangat  mahu kalimah ini disebut dalam kitab Bible yang berbahasa Melayu sahaja? Mengapa tidak dalam bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau Mandarin? Kita juga ingin bertanya, jika  dibandingkan  dengan bangsa lain, berapakah peratus orang  Melayu di Malaysia ini yang sudah memeluk agama Kristian untuk diberi penghayatan kalimah ini? Sehingga begitu galak sekalikah DAP melalui Setiausaha Agungnya  Lim Guan Eng mahu menggunakan kalimah ini dalam Bible berbahasa Melayu? Dimanakah logiknya?
Nampaknya mereka bersungguh-sungguh menyokong  penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam, kita juga ingin bertanya kepada Pakatan Rakyat apakah mereka juga bersetuju jika Prinsip Rukun Negara yang pertama ditukarkan kepada ‘Kepercayaan kepada Allah’ daripada ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’?
Kita mungkin sudah dapat membaca maksud dan tujuan yang tersirat oleh DAP ini demi keuntungan politik mereka ditambah lagi dengan pilihanraya ke-13  yang semakin hampir, mereka sedang mencari  isu bagi mengelirukan rakyat dengan isu-isu yang sensitif. Apakah mereka mahu menimbulkan suatu kecelaruan fikiran dan menguji  fahaman ketuhanan orang Melayu yang hampir seratus-peratus beragama Islam? Manakala PAS dan PKR pula menjadi pak turut dan sanggup mengorbankan prinsip dan perjuangan parti demi untuk memenuhi matlamat dan mimpi pemimpin-pemimpin mereka  ke Putrajaya! PAS dalam Pakatan ibarat melukut di tepi  gantang. PAS telah  melupakan perjuangan negara Islam dan Hudud. PAS juga amat berpuas hati kerana bersetuju kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam dan bolehlah nanti bersama-sama mereka dalam Pakatan melaungkan ‘takbir‘!
 Setelah isu ini lenyap dua tahun lepas dan kita telah pun mencapai kemerdekaan  yang ke-55 tahun, mengapa baru sekarang isu sensitif ini ditimbulkan lagi oleh DAP? Apakah keamanan dan keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini di Malaysia dengan kebebasan beragama dicemburui oleh mereka ini yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih? Kita tidak pula pernah masuk campur dalam urusan agama lain. Apakah tolak ansur dan tolenransi beragama orang Melayu dan Islam selama ini telah dianggap sebagai suatu kelemahan yang boleh diperkotak-katikan? Apakah ketahanan dan kekuatan serta kesatuan orang Melayu sekarang sedang diuji? Siapakah yang beruntung dengan perpecahan orang Melayu ini? Adalah amat malang sekali akibat dari perpecahan ini, kadangkalanya kita kelihatan seolah-olah seperti mengemis kepada kaum lain untuk menagih undi!
Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keamanan menyeru semua pihak menghentikan polemik dan isu kalimah Allah ini. Janganlah kalimah Allah ini dijadikan bahan politik murahan. Kalimah Allah adalah ekslusif untuk agama Islam sahaja sebagaimana yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa kebangsaan, jadi mengapa pula ada pihak bukan Islam mahu mencampuri  urusan ini? Kita tidak mahu nanti isu ini menjadi bertambah rumit apabila kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam maka akan adalah sebutan nama seperti  ‘Allah Jesus’  dan  akan  terpampanglah kalimah Allah didalam dan diluar gereja-gereja dan rumah rumah ibadat lain yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan berlaku!! Siapakah yang akan bertanggungjawab dan menghalangnya nanti?
Sebelum kekusutan bertambah parah dan menjadi kudis, kita memohon isu ini ditutup dan tindakan sewajarnya diambil  kepada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu sensitif keagamaan dan mencabar perlembagaan Negara. Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlulah diambil sebagai iktibar bukan sahaja di Selangor tetapi diseluruh Malaysia. Tindakan segera perlu diambil sebelum cacing naik ke mata dan jangan sampai nasi menjadi bubur kerana rakyat Malaysia terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk mendapat keamanan dan keharmonian semula!