Selasa, 22 Mac 2011

APA MUSLIHATNYA INJIL DALAM BAHASA MELAYU?


Kita amat terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyebar dan membenarkan pengeluaran kitab Injil dalam bahasa Melayu seperti laporan Utusan Malaysia pada 16 Mac 2011. Dengan menggunakan akta ISA 1982, katanya ini boleh dilaksanakan! Apakah Kementerian Dalam Negeri merestui kenyataan ini? Kita juga ingin bertanya siapakah Idris yang berhak mengatakan ianya boleh atau tidak diedarkan? Adakah perkara yang amat sensitif pada umat Islam ini telah dirujuk, dibincangkan atau sekurang-kurangnya meminta pandangan dengan pihak-pihak berwajib agama Islam seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, pihak Mufti, malah dengan Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab akan hal-ehwal Agama Islam untuk diedarkan?
Walaupun difahamkan untuk edaran di Sarawak atau Sabah sahaja adakah kita yakin ianya tidak diedar di Semenanjung? Setakat manakah penguatkuasaan dapat dilaksanakan terutamanya dibilik-bilik hotel di Sabah dan Sarawak sebagaimana sekarang sudah lama adanya kitab-kitab Injil ini. Walau pun dicop dengan tag ‘Untuk penganut Kristian sahaja’ apakah ini akan menghalang dari kitab ini tersebar kepada orang Islam? Sedangkan penyebaran agama lain kepada orang Islam adalah dilarang dalam perlembagaan Malaysia?
Kita amat hairan mengapakah pihak-pihak tertentu ini ingin sangat mempromosikan Kitab Injil dalam bahasa Melayu ini, apakah tujuan dan agenda disebaliknya? Adakah kerana mereka berpandangan orang Melayu Islam terutamanya golongan muda sekarang amat tipis pengetahuan agama Islamnya dengan masalah sosial, merempit, pembuangan anak, dadah dan sebagainya maka inilah masanya dan peluang keemasan yang perlu diambil?
Sudah berpuluh tahun kita hidup dalam keadaan harmoni dan bertoleransi dalam menjalani agama masing-masing begitu juga di Sabah dan Sarawak. Perkara mengeluarkan kitab Injil dalam bahasa Melayu tidak pernah ditimbulkan, mengapa pula sekarang menjadi suatu isu? Adakah sekarang baru mereka sedar mahu berdoa’ dalam bahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah?
Walau apa pun alasannya kita berpendapat pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri harus berhati-hati dalam menangani isu ini supaya tidak dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan juga harus mengkaji tanpa ditekan oleh pihak tertentu dan menilai secara mendalam akibatnya kepada orang Islam supaya Injil bahasa Melayu ini tidak menjadi suatu wadah penyebaran agama kepada generasi muda bagi mengelak bertambahnya berlaku isu murtad!

Untungnya Namewee


Kita merasa amat terkejut,kecewa dan amat marah bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan Kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee kerana tidak melakukan sebarang kesalahan kepada kerajaan! Sudah berbulan-bulan dan desakan demi desakan di buat oleh pelbagai pihak untuk tindakan ke atas pemuda ini yang celupar dan beraksi ‘kurang ajar’ menjatuhkan maruah seorang pengetua sekolah dan juga memperlekehkan Kementerian Pelajaran! Setelah menunggu sejak sekian lama, ini sahaja jawapan ‘terbaik’ yang boleh diberi oleh seorang Menteri Kanan! Amat mengecewakan.
Kita ingin bertanya Menteri berkenaan, apakah memperlekehkan Kementerian Pelajaran dan sebelum ini mempermainkan lagu Kebangsaan Negaraku, mempersendakan azan Subuh dan sebagainya itu tidak melibatkan kerajaan dan sensitiviti perkauman?
Dengan keputusan kerajaan ini kita telah menjadikan Namewee ini dan yang serupa dengannya bertambah besar kepala! Bagi pemuda lulusan Taiwan ini adalah satu kemenangan dan siapa yang berani menyekat kreavitinya? Adakah generasi muda yang ‘kurang ajar’ dan tidak menghormati perasaan kaum lain sebeginikah yang kita mahu tonjolkan dan pupuk dalam wawasan 1 Malaysia? Apakah yang keistimewaan pemuda dari Muar ini? Kita berpandangan sebarang keputusan yang dibuat seharusnya berlandaskan fakta kes dan bukannya dibuat berdasarkan keputusan politik semata-mata!
Kita juga kadang-kadang tertanya jika sekiranya kesalahan ini dilakukan oleh pemuda Melayu, adakah tindakan yang sama akan diambil? Atau pendakwaan akan terus dibuat tanpa memberi peluang memohon ampun dan maaf. Kasihan orang Melayu sudahlah dihentam oleh Pakatan Rakyat dan dibuli oleh DAP di Pulau Pinang, dipihak kerajaan pula tidak banyak membantu.
Kita tidak mahu pendakwaan dibuat secara terpilih seperti beberapa isu sebelum ini seperti isu ‘kepala lembu’ dan berpuluh- puluh laporan polis yang telah dibuat berkenaan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.
Apakah isu yang melibatkan orang Melayu dianggap tidak penting, remeh dan boleh ditangguhkan. Tindakan segera pula perlu diambil jika melibatkan kaum Cina dan India? Kita juga amat menyokong tindakan PERKASA yang membawa isu –isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Dengan keputusan kerajaan ini, kita juga tidak mahu akan ada berpuluh-puluh lagi Namewee selepas ini dengan aksi dan kata- kata lucah sesuka mereka sahaja kerana lemahnya tindakan kerajaan. Orang Melayu pula akan merasai mereka seolah-olah dipinggirkan dan dikecewakan serta dilayan seumpama ‘second class citizen’.