Khamis, 29 November 2012

Patutkah Hukuman Gantung Kerana Dadah Dihapuskan?

Dalam keadaan negara kita yang sering menjadi transit dan diserang dengan pelbagai isu dadah saban hari oleh pelancong dan pendatang asing, kita menjadi nanar apabila Menteri  di Jabatan Perdana Menteri YB Nazri dengan tiba-tiba mahu memansuhkan hukuman gantung sampai mati!
Dengan alasan kononnya kerana kita mahu membela rakyat kita yang telah ditahan pihak berkuasa di luar negara kerana menjadi keldai dadah. Alasan ini amatlah kurang kukuh bagi membela mereka dan kelihatan sangat remeh.
Kita saban hari membaca didada akhbar dan menonton di TV betapa seriusnya gejala pengedaran dadah ini oleh warga asing yang ditangkap di pintu-pintu masuk sempadan negara kita terutamanya di KLIA dan LCCT. Dadah disembunyikan didalam beg pakaian, didalam bungkusan makanan, didalam ubi kayu, malah ia ditelan dan disimpan didalam perut !! Jumlah dadah ini jika dinilai dengan matawang kita adalah dalam kiraan jutaan Ringgit Malaysia, ini adalah suatu jumlah yang amat mengejutkan kita berbanding dengan kes-kes pengedaran dadah pada suatu masa dahulu. Mereka ini terdiri daripada warga Iran, India, Afrika dan sebagainya malah telah dapat dikesan dan dibongkar makmal-makmal dadah yang diusahakan oleh warga tempatan bersama-sama dengan warga asing ini.
Sekiranya dadah-dadah ini tidak dapat dikesan oleh pihak kastam dan imigresen, apakah akan terjadi jika ia terlepas ke tangan pengedar dan terus ketangan penghisap dan penagih dadah yang terdiri dari anak bangsa Melayu? Anak bangsa Melayulah yang telah ternyata menjadi penghuni nombor ‘wahid’ jumlah yang paling ramai di pusat-pusat pemulihan/serenti seluruh negara.
Dengan hukuman mati mandatori yang masih dikuatkuasakan pun mereka sanggup dan berani untuk melakukan pengedaran dadah dengan  sewenang-wenangnya tanpa takut, inikan pula hukuman yang lebih ringan! Walaupun kadangkala pengumuman dibuat didalam pesawat semasa mendarat dari luar negara di lapangan terbang KLIA dan LCCT berkenaan dengan hukuman ini tetapi tiada siapa pun yang ambil peduli!
Kita sebagai ibubapa dan warga Malaysia yang prihatin ingin meminta supaya pihak kerajaan membuat kajian yang teliti sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman gantung ini. Adakah hukuman ini dianggap zalim dan kejam? Bagaimana pula dengan beribu-ribu anak bangsa kita yang mati kerana ketagihan dadah berpunca dari pengedar-pengedar dadah yang tamak haloba ini? Penceraian antara suami isteri, kehancuran rumah tangga, fungsi kekeluargaan dan masyarakat yang kucar-kacir sehingga ada yang menjadi bangkai bernyawa dan jangkitan HIV hingga ke anak-anak yang tak berdosa sebagai pewaris bangsa? Bukankah ini lebih zalim dan kejam kerana ia melibatkan beribu-ribu nyawa lain dan menjadikan penagih-penagih dadah sebagai penagih tegar untuk sepanjang hayat.  Kerajaan terpaksa pula mengeluarkan jutaan ringgit perbelanjaan untuk memulihkan penagih-penagih ini di pusat-pusat pemulihan/serenti dan mengedarkan jarum dan kondom secara percuma. Apakah kita yang sedang menuju ke arah negara maju ini menganggap bahawa masalah dadah adalah perkara biasa dan sebuah cerita klasik yang tidak lagi perlu diwar-warkan? Adakah sekarang kita telah menjadi  lebih prihatin untuk menghukum para pengedar dadah ini?
Oleh sebab itu kita berpendapat bahawa sebarang keputusan dari kerajaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan dan kesejahteraan bangsa dan rakyat kita sendiri bukan kerana desakan oleh pihak luar ataupun cuba untuk mengikut contoh dari negara lain bahawa mereka telah melakukan perkara sedemikian maka kita pula mahu mengikut cara mereka!