Khamis, 8 Disember 2011

MENANG SORAK, KAMPUNG TERGADAI

Apakah kita sebagai orang Melayu dan peribumi dibumi bertuah ini sanggup menjadi hamba ditanah air sendiri? Apakah kita sanggup menjadi gunting dalam lipatan? Menjadi musuh dalam selimut? Menikam dari belakang bangsa sendiri? Apakah kita sanggup melihat anak-anak bangsa kita mati kelaparan dan berputih mata? Ibarat ayam mati dikepok!Manakala kera di hutan disusui dan anak sendiri menangis kelaparan!!Inilah hakikatnya yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu yang beragama Islam ini!!Abad ini amat mencabar antara hidup atau lenyapnya bangsa Melayu, apakah kita masih ujud seperti yang diharapkan oleh Laksamana Hang Tuah, 'Tidak akan Melayu hilang didunia'? Atau kita menjadi umpama orang Red Indian di Amerika Utara yang lupus dan lenyap bangsa dan budayanya tanpa dikesan?Cuma sejarahnya ditulis dalam komik dan dapat dilihat dalam cerita-cerita cowboy sahaja.Dimanakah sekarang bangsa yang bermaruah ini? Apakah orang Melayu masih tidak mahu sedar dan tidak mahu bersatu demi keutuhan bangsa dan agama? Apakah matlamat politik puak ini,lebih utama dengan sanggup mengadaikan maruah bangsa dan agama. Melayu sebegini sanggup bertopengkan 'Matlamat adalah menjadi halal semua cara!' Bangsa Melayu Islam dimurtadkan secara terang terangan,ayat- ayat Al-Quran dipermainkan dan diucapkan oleh sikafir atau sesiapa saja oleh Mutu,Manikam atau Ah Pek,perlembagaan dan kedaulatan Raja Raja Melayu diperlekehkan, hak orang Melayu sering pula diungkitkan sampai hak tiga puluh peratus orang Melayu dalam perusahaan dan potongan perumahan pun mahu dihapuskan!.Kadangkala kita pula dituduh rasis!Yang baik nya Melayu kita, tidak pula mengungkit hak mereka!Ironinya dan peliknya perkara sebegini tidak pun pernah diungkit,atau mereka berani bermulut celupar atau berani diucapkan dalam lima atau enam tahun lepas atau sebelum Pilihanraya lalu(PRU12).Bila mereka menang besar dan BN dan UMNO hilang kuasa majoriti dua pertiga, maka belang ini pun mula nampak sedikit demi sedikit!'True colour' dan hala tuju mereka sudah kelihatan!!Tetapi amat malang sungguh bagi bangsa Melayu kerana ada petualang yang sanggup bersekongkol dengan puak-puak cauvanis ini dan sanggup pula melupakan matlamat dan hala tuju perjuangan!!Si Kitol abad kedua puluh menjelma semula dengan versi baru demi untuk mengisi kantung dan perut buncit sendiri dan kaum kerabat!Mencanang seantero Semenanjung Tanah Melayu dan ke Sabah Dan Sarawak hatta ke negara jiran Indonesia!! Konon atas nama Keadilan!! PAS pula sanggup melupakan perjuangan negara Islam kerana Karpal Singh DAP sudah beri amaran langkah mayat nya dahulu!!Daahsyat!! Apa maksudnya? Sanggupkah PAS memperjuangkan Islam hingga ketahap itu atau seberani DAP atau biar berputih tulang,jangan berputih mata?Ini Tidak mungkin,kerana PAS siang-siang sudah angkat bendera putih dan mengaku kalah sebelum berperang.Hanya sanggup berjuang untuk negara berkebajikan atau welfare saja.Maka pada setiap akhir kutbah Jumaat akan dimasukan doa' negara kebajikan.Itu saja yang sanggup dibuat di Selangor kenapa tidak didoa' untuk menegakkan Negara Islam? kini sudah sampai masa dan ketika yang amat parah ada pengikut Tok Guru PAS sudah menobat nya seumpama Nabi, masya'Allah!Bongkak nya mereka...Melayu perlu bangkit .UMNO,NGO Melayu dan Islam perlu mengatur strategi untuk menebus maruah Melayu dan kelangsungan hidup dan bersatu menghadapi PRU 13.Kita perlu MENANG!!!!Walau apa pun kita tunggu PRU 13 ini antara hidupnya bangsa Melayu atau akan Menjadi umpama Pak Kaduk,menang sorak tapi kampung nya tergadai!!Masa itu menangis air mata darah pun sudah tiada berguna.Nasi sudah menjadi bubur lambuk untuk diratah beramai-ramai.

Ahad, 10 Julai 2011

TIDAK MALUKAH DIA?

Kadangkala kita terasa amat malu jika keterlanjuran kita dan moral rendah kita diketahui dan dipertotonkan oleh khalayak umum. Malu pada isteri, malu pada anak, malu pada saudara-mara, rakan-taulan malah malu kepada rakyat jelata kalau kita seorang pemimpin. Tetapi yang peliknya ada pemimpin yang tak tahu malu malah tak takut dosa! Fenomena inilah yang sekarang telah melanda negara kita ini malah penyokong tegar, pemimpin politik, ulama dan tok guru juga terlibat sama mempertahankan pemimpin tersebut. Malangnya lagi isteri dan anaknya juga turut memejamkan mata diatas keruntuhan moral ini. Adakah mereka juga tidak takut akan dosa dan tidak merasa malu mempertahankan pemimpin yang dipertikaikan kerendahan moralnya ini? Malah boleh dikatakan inilah krisis moral pemimpin yang paling teruk dalam sejarah Malaysia moden.
Demi kelangsungan dan serakah politik, kita tidak hairan dengan sokongan yang tidak berbelah bagi ini boleh berlaku kepada pemimpin PAS, parti yang suatu masa dahulu ingin memperjuangkan negara Islam sejak sekian lama. Parti yang dilihat umum parti yang ingin mendaulatkan hukum Hudud dan undang-undang Islam berdasarkan Al- Quran dan hadis dalam sebuah negara Islam!
Untuk membunuh parti orang Melayu iaitu UMNO dan membenamkan harapan kesatuan Melayu, PAS sanggup dengan sekelip mata telah menukar status perjuangannya kepada negara berkebajikan atau negara ‘welfare’! Semata-mata untuk meraih laba dan sokongan dari pengundi-pengundi Cina dan India dari DAP dan PKR yang belum tentu mahu mengundi dan berpihak kepada calon mereka! Mereka secara terang-terangan telah membakar jambatan perpaduan diantara orang Melayu sebelum sampai ke penghujungnya.
Dalam masa yang sama, kita juga telah melihat satu demi satu pemimpin luar negara yang tumbang dan meletak jawatan atau mengundurkan diri dari jawatan-jawatan mereka bila isu moral dan seks mereka terdedah seperti di Turki, Amerika, Indonesia malah IMF sendiri yang mana suatu masa lalu dekat dihati pemimpin ini. Mereka merasa teramat malu dan amat bertanggungjawab diatas perilaku dan kecelaruan moral mereka! Mereka tidak pula menyeret rakyat berdemonstrasi di jalanan seperti pemimpin pembangkang ini kononnya atas nama ‘Bersih’ bagi menutup dan bersekongkol dengan keruntuhan moralnya. Mereka inilah kaum lelaki yang sebenarnya, pemimpin yang ’gentleman’. Sebaliknya adalah sungguh malang, ini tidak berlaku di Malaysia.
Pemimpin ini di Malaysia yang disyaki terlibat dengan isu moral masih bergerak bebas tanpa segan dan silu atas dasar kononnya ada konspirasi politik keatasnya! Di pentas-pentas ceramah politik beliau masih mempertahankan dirinya konon bersih dan dianiaya! Walaupun seluruh dunia telah menyaksikan video yang dikaitkan dengan tingkahlakunya! Malah pakar dari Amerika juga sudah mengesahkan ketulenan video tersebut. Tidak malukah dia?
Jika benarlah ini berlaku, tidakkah dia merasa sekelumit pun dosa yang ditanggung kalau pun perasaan malu sudah tiada dalam kamus hidupnya!
Kita amat berharap kebenaran akan terserlah juga akhirnya.

Sabtu, 28 Mei 2011

UMNO PERLU TUBUH UNIVERSITI


Baru-baru ini saranan dari MP Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir berkenaan menubuhkan Kolej UMNO dan memberi biasiswa kepada yang memerlukan adalah sesuatu yang perlu disambut baik. Kita harus menyokong bukan sahaja untuk penubuhan Kolej tetapi juga terus menyokong sehingga sebuah universiti UMNO dapat ditubuhkan! Mengapa tidak? Jika MCA dan MIC mampu mempuyai universiti dan kolej tersendiri mengapa UMNO sebagai tulang belakang BN tidak boleh atau tidak berupaya? Apakah pandangan dari Mukhriz ini harus dipandang sepi? Kita tidak pun nampak walau sekelumit pun sambutan dari kalangan UMNO mahu pun para pemimpin UMNO yang lain berkenaan saranan ini.
Apakah setelah 53 tahun merdeka, UMNO yang diterajui oleh orang Melayu tidak mampu dan tidak berupaya mempuyai sebuah universiti sendiri? Adakah kita telah berpuashati dengan satu-satunya universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk orang Melayu seperti UiTM?
Pelajar Melayu kebanyakannya amat berharap untuk menyambung pengajian di IPTA kerana hanya beberapa kerat sahaja yang mampu membayar yuran untuk menyambung pengajian di IPTS. Cuba bandingkan peratusan pelajar Melayu yang belajar di IPTS dengan pelajar bukan Melayu! Umpama langit dan bumi!
Inilah masanya UMNO membantu anak-anak Melayu yang gagal mendapat tempat di universiti atau kolej-kolej lain untuk ditawarkan ke kolej atau universiti UMNO sendiri dengan menawarkan bisiswa atau pinjaman. Kita percaya UMNO mampu!
Universiti UMNO ini perlulah dimartabatkan menjadi universiti yang berkualiti tinggi dan berinovasi dengan menawarkan kursus-kursus sains, perubatan dan berteknologi tinggi! UMNO perlu berani menongkah arus demi untuk membela untung nasib orang-orang Melayu terutamanya dari kampung, kawasan luar dan pinggiran bandar serta tanah-tanah rancangan Felda yang selama ini terus menyokong kerajaan BN tanpa gagal!
Pembalasan yang setimpal perlulah diberikan kepada anak-anak Melayu ini untuk menjejak kaki ke menara gading. UMNO tidak perlu takut digelar rasis kerana kalau bukan UMNO, siapakah sekarang ini yang akan menolong orang-orang Melayu yang telah dikucar-kacirkan? Adakah PAS dan PKR akan membantu? Jauh panggang dari api!
Disamping itu UMNO juga perlu bertindak pantas memantau dan menolong keperluan pelajar-pelajar Melayu dalam hal mendapatkan biasiswa, pinjaman dan memperjuangkan bagi membolehkan mereka ini mendapat tempat di pusat pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara dan bukan hanya membiarkan urusan ini ditangani oleh pegawai dari kementerian atau pihak kerajaan sahaja.
Kita telah melihat MCA (sebagaimana laporan Utusan Malaysia pada 18 Mei 2011) begitu pantas telah menubuhkan badan khas untuk membantu pelajar Cina yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong. Kita difahamkan badan ini telah mendapat beratus e-mail dan surat dari ibu bapa dan pelajar!
Adakah kita sudah ada jawatan kuasa yang sebegini bagi membantu anak-anak kita atau sekurang-kurangnya ada tempat orang Melayu untuk mengadu?
Kita perlu ingat, majoriti orang Melayu masih sayangkan UMNO!

Selasa, 22 Mac 2011

APA MUSLIHATNYA INJIL DALAM BAHASA MELAYU?


Kita amat terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyebar dan membenarkan pengeluaran kitab Injil dalam bahasa Melayu seperti laporan Utusan Malaysia pada 16 Mac 2011. Dengan menggunakan akta ISA 1982, katanya ini boleh dilaksanakan! Apakah Kementerian Dalam Negeri merestui kenyataan ini? Kita juga ingin bertanya siapakah Idris yang berhak mengatakan ianya boleh atau tidak diedarkan? Adakah perkara yang amat sensitif pada umat Islam ini telah dirujuk, dibincangkan atau sekurang-kurangnya meminta pandangan dengan pihak-pihak berwajib agama Islam seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, pihak Mufti, malah dengan Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab akan hal-ehwal Agama Islam untuk diedarkan?
Walaupun difahamkan untuk edaran di Sarawak atau Sabah sahaja adakah kita yakin ianya tidak diedar di Semenanjung? Setakat manakah penguatkuasaan dapat dilaksanakan terutamanya dibilik-bilik hotel di Sabah dan Sarawak sebagaimana sekarang sudah lama adanya kitab-kitab Injil ini. Walau pun dicop dengan tag ‘Untuk penganut Kristian sahaja’ apakah ini akan menghalang dari kitab ini tersebar kepada orang Islam? Sedangkan penyebaran agama lain kepada orang Islam adalah dilarang dalam perlembagaan Malaysia?
Kita amat hairan mengapakah pihak-pihak tertentu ini ingin sangat mempromosikan Kitab Injil dalam bahasa Melayu ini, apakah tujuan dan agenda disebaliknya? Adakah kerana mereka berpandangan orang Melayu Islam terutamanya golongan muda sekarang amat tipis pengetahuan agama Islamnya dengan masalah sosial, merempit, pembuangan anak, dadah dan sebagainya maka inilah masanya dan peluang keemasan yang perlu diambil?
Sudah berpuluh tahun kita hidup dalam keadaan harmoni dan bertoleransi dalam menjalani agama masing-masing begitu juga di Sabah dan Sarawak. Perkara mengeluarkan kitab Injil dalam bahasa Melayu tidak pernah ditimbulkan, mengapa pula sekarang menjadi suatu isu? Adakah sekarang baru mereka sedar mahu berdoa’ dalam bahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah?
Walau apa pun alasannya kita berpendapat pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri harus berhati-hati dalam menangani isu ini supaya tidak dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan juga harus mengkaji tanpa ditekan oleh pihak tertentu dan menilai secara mendalam akibatnya kepada orang Islam supaya Injil bahasa Melayu ini tidak menjadi suatu wadah penyebaran agama kepada generasi muda bagi mengelak bertambahnya berlaku isu murtad!

Untungnya Namewee


Kita merasa amat terkejut,kecewa dan amat marah bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan Kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee kerana tidak melakukan sebarang kesalahan kepada kerajaan! Sudah berbulan-bulan dan desakan demi desakan di buat oleh pelbagai pihak untuk tindakan ke atas pemuda ini yang celupar dan beraksi ‘kurang ajar’ menjatuhkan maruah seorang pengetua sekolah dan juga memperlekehkan Kementerian Pelajaran! Setelah menunggu sejak sekian lama, ini sahaja jawapan ‘terbaik’ yang boleh diberi oleh seorang Menteri Kanan! Amat mengecewakan.
Kita ingin bertanya Menteri berkenaan, apakah memperlekehkan Kementerian Pelajaran dan sebelum ini mempermainkan lagu Kebangsaan Negaraku, mempersendakan azan Subuh dan sebagainya itu tidak melibatkan kerajaan dan sensitiviti perkauman?
Dengan keputusan kerajaan ini kita telah menjadikan Namewee ini dan yang serupa dengannya bertambah besar kepala! Bagi pemuda lulusan Taiwan ini adalah satu kemenangan dan siapa yang berani menyekat kreavitinya? Adakah generasi muda yang ‘kurang ajar’ dan tidak menghormati perasaan kaum lain sebeginikah yang kita mahu tonjolkan dan pupuk dalam wawasan 1 Malaysia? Apakah yang keistimewaan pemuda dari Muar ini? Kita berpandangan sebarang keputusan yang dibuat seharusnya berlandaskan fakta kes dan bukannya dibuat berdasarkan keputusan politik semata-mata!
Kita juga kadang-kadang tertanya jika sekiranya kesalahan ini dilakukan oleh pemuda Melayu, adakah tindakan yang sama akan diambil? Atau pendakwaan akan terus dibuat tanpa memberi peluang memohon ampun dan maaf. Kasihan orang Melayu sudahlah dihentam oleh Pakatan Rakyat dan dibuli oleh DAP di Pulau Pinang, dipihak kerajaan pula tidak banyak membantu.
Kita tidak mahu pendakwaan dibuat secara terpilih seperti beberapa isu sebelum ini seperti isu ‘kepala lembu’ dan berpuluh- puluh laporan polis yang telah dibuat berkenaan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.
Apakah isu yang melibatkan orang Melayu dianggap tidak penting, remeh dan boleh ditangguhkan. Tindakan segera pula perlu diambil jika melibatkan kaum Cina dan India? Kita juga amat menyokong tindakan PERKASA yang membawa isu –isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Dengan keputusan kerajaan ini, kita juga tidak mahu akan ada berpuluh-puluh lagi Namewee selepas ini dengan aksi dan kata- kata lucah sesuka mereka sahaja kerana lemahnya tindakan kerajaan. Orang Melayu pula akan merasai mereka seolah-olah dipinggirkan dan dikecewakan serta dilayan seumpama ‘second class citizen’.