Selasa, 22 Mac 2011

APA MUSLIHATNYA INJIL DALAM BAHASA MELAYU?


Kita amat terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyebar dan membenarkan pengeluaran kitab Injil dalam bahasa Melayu seperti laporan Utusan Malaysia pada 16 Mac 2011. Dengan menggunakan akta ISA 1982, katanya ini boleh dilaksanakan! Apakah Kementerian Dalam Negeri merestui kenyataan ini? Kita juga ingin bertanya siapakah Idris yang berhak mengatakan ianya boleh atau tidak diedarkan? Adakah perkara yang amat sensitif pada umat Islam ini telah dirujuk, dibincangkan atau sekurang-kurangnya meminta pandangan dengan pihak-pihak berwajib agama Islam seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, pihak Mufti, malah dengan Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab akan hal-ehwal Agama Islam untuk diedarkan?
Walaupun difahamkan untuk edaran di Sarawak atau Sabah sahaja adakah kita yakin ianya tidak diedar di Semenanjung? Setakat manakah penguatkuasaan dapat dilaksanakan terutamanya dibilik-bilik hotel di Sabah dan Sarawak sebagaimana sekarang sudah lama adanya kitab-kitab Injil ini. Walau pun dicop dengan tag ‘Untuk penganut Kristian sahaja’ apakah ini akan menghalang dari kitab ini tersebar kepada orang Islam? Sedangkan penyebaran agama lain kepada orang Islam adalah dilarang dalam perlembagaan Malaysia?
Kita amat hairan mengapakah pihak-pihak tertentu ini ingin sangat mempromosikan Kitab Injil dalam bahasa Melayu ini, apakah tujuan dan agenda disebaliknya? Adakah kerana mereka berpandangan orang Melayu Islam terutamanya golongan muda sekarang amat tipis pengetahuan agama Islamnya dengan masalah sosial, merempit, pembuangan anak, dadah dan sebagainya maka inilah masanya dan peluang keemasan yang perlu diambil?
Sudah berpuluh tahun kita hidup dalam keadaan harmoni dan bertoleransi dalam menjalani agama masing-masing begitu juga di Sabah dan Sarawak. Perkara mengeluarkan kitab Injil dalam bahasa Melayu tidak pernah ditimbulkan, mengapa pula sekarang menjadi suatu isu? Adakah sekarang baru mereka sedar mahu berdoa’ dalam bahasa Melayu dan menggunakan kalimah Allah?
Walau apa pun alasannya kita berpendapat pihak kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri harus berhati-hati dalam menangani isu ini supaya tidak dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan juga harus mengkaji tanpa ditekan oleh pihak tertentu dan menilai secara mendalam akibatnya kepada orang Islam supaya Injil bahasa Melayu ini tidak menjadi suatu wadah penyebaran agama kepada generasi muda bagi mengelak bertambahnya berlaku isu murtad!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan