Khamis, 30 Mei 2013

PARTI TUNGGAL- SIAPA YANG UNTUNG?



Ura-ura mahukan satu parti politik sahaja,sebagaimana yang dilontarkan oleh  YAB Muhyiddin  Yassin perlu dibuat kajian  yang amat teliti, mendalam dan serius. Cadangan ini telah kita ketahui telah lama disarankan oleh parti Gerakan setelah mereka kalah dalam PRU 12. Kita sebagai orang Melayu dan parti UMNO khasnya haruslah memikirkan dari segi untung ruginya jika satu parti sahaja diwujudkan iaitu Barisan Nasional (BN). Sudah tentu tiada lagi UMNO, MCA, MIC, Gerakan , PBB dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak ! Parti-parti ini umumnya berjuang dan berpaksikan kepada  satu kaum atau bangsa dan aspirasi perjuangan bangsa sejak sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia, adakah cadangan ini baik atau menguntungkan orang Melayu dan Islam? Jika kita mahu mengambil contoh negara lain atau negara jiran terdekat seperti Thailand dan Filipina, mereka terdiri dari kaum yang sama atau setidak-tidak nya mereka berfahaman  dan menganut agama yang sama. Di negara kita amat berbeza sekali  kerana majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, manakala kaum manoriti orang Cina dan India pula  yang berfahaman dan menganut  agama yang berbeza.
Keputusan  PRU 13 yang lepas kita telah menyaksikan  berlaku Tsunami orang Cina mengundi  pembangkang terutama DAP. Parti komponen BN terutamanya MCA dan Gerakan telah  kalah teruk. Jika  tanpa sokongan orang Melayu yang menjadi  majoriti senyap atau  ‘silent majority’ ini maka parti UMNO  pun  sudah lama ‘bungkus’. BN  pun  pasti rebah dan tumbang  menyembah bumi  jika tanpa bantuan orang Melayu,bumiputra Sabah/Sarawak dan segelintir orang India.
Jadi kita rasa jika sistem satu parti atau parti tunggal  dipersetujui maka yang untung bukanlah orang Melayu tetapi  orang bukan Melayu atau orang Cina dan India !Sejak PRU yang pertama selepas  merdeka , UMNOlah yang mempunyai calon ADUN dan Parlimen yang ramai kerana mewakili majoriti penduduk Malaysia. Wakil UMNOlah yang menjadi majoriti dalam parlimen dan dewan undangan negeri. Wakil UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri, Timbalan  Perdana Menteri dan  majoriti Menteri  Menteri kerajaan BN. UMNO mendominasi  dan menjadi tulang berlakang  parti Perikatan atau Barisan Nasional sekarang! Jika hanya ada parti tunggal adakah perkara ini akan diteruskan? Platfom manakah  mereka mahu berkumpul dan bincang  hal agenda Melayu seperti persidangan tahunan UMNO? Adakah kita sudah menganggap agenda bumiputra sudah selesai? Cukup setakat ini sahaja kita tolong orang Melayu? Tahap ekonomi Melayu sudah kah mencapai 30 peratus?  Sudah tertubuhkah universiti berteknoloji  tinggi untuk anak anak  Melayu atau universiti UMNO? Kita jangan lupa MCA dan MIC telah lama ada universiti dan instutusi pengajian tinggi mereka sendiri! Agenda mereka mungkin sudah selesai, kerana hampir keseluruhan perniagaan dinegara ini telah dikuasai mereka!Apakah kita sudah mahu mentalkinkan  UMNO sebagaimana yang ditunggu tunggu oleh DAP?
Tanpa UMNO, adakah orang Melayu perlu pergi mengadu  kepada Perkasa atau  NGO-NGO Melayu lain? Atau orang  Melayu akan kecewa dan  beralih angin ke parti lain seperti  Pas pula atau menubuhkan sebuah  parti  Melayu  baru? Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pemimpin politik kita sebelum keputusan muktamad diambil. Beberapa tabung uji perlu dikaji dan diselidik dalam makmal yang akan ditubuhkan.
 Patut di ingat dengan adanya satu parti maka pihak yang kalah dan minoriti akan sentiasa terselamat dan menjadi penumpang(passenger) kepada parti lain yang lebih dominan ia itu UMNO! Sekiranya  wakil kaum ini tidak menang, tiada siapa pun boleh mempertikaikan kerana  yang kalah adalah calon dari parti yang sama? Jadi bila susunan kabinet jemaah menteri  dibuat  maka orang  Cina dan India akan juga dilantik mengikut kouta yang telah dipersetujui walau pun mereka kalah teruk! Bagaimanakah pula jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Jika telah dalam satu parti maka orang Cina dan India juga  akan berminat jawatan  jawatan tersebut. Apa alasan kita jika mengatakan mereka tidak layak? Sedangkan mereka juga berada dalam parti yang sama? Apakah perlembagaan  Malaysia juga nanti perlu dipinda? Kita juga harus ingat adakah telah terjamin jika kita adakan parti tunggal, orang Cina akan mengundi BN nanti pada PRU 14? Begitu juga orang Melayu, adakah  mereka akan terus meyokong BN jika bukan lagi atas nama UMNO?
Kita takut nanti sejarah akan berulang lagi sebagaimana  Dato’ Onn  Jaafar mahu membuka UMNO untuk bukan Melayu yang ditentang  oleh orang Melayu. Kita mahu perkara ini dikaji dari segi untung ruginya orang Melayu dan demi survival politik Melayu yang sekarang sedang dirobek  sedikit demi sedikit dan janganlah kita terlalu teruja untuk menjadi parti tunggal.Kita juga perlu melihat kenapa Pakatan yang didominasi oleh  DAP sehingga sekarang masih tidak mahu mendaftar sebagai satu parti !Mungkin mereka telah nampak atau tercium bau kesulitan  dan kerugian yang bakal menimpa! Oleh itu  janganlah   kita terpengaruh dengan desakan demi desakan sedangkan kita orang  Melayu  dalam PRU 13  lalu di pihak yang menang! Mana tahu,  inilah yang mereka mahu? Janganlah pula seperti kata pepatah Melayu, yang dikelek  tak dapat, yang dikendong pula  berciciran!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan