Isnin, 13 September 2010

PELANCONG TIDAK BERMORAL: SALAH SIAPA?


Disamping kes pembuangan bayi yang kian menjadi-jadi, media saban hari melaporkan kegiatan rumah urut, pelacuran dan GRO yang telah ditangkap. Perkara ini melibatkan warga asing terutamanya dari China disamping Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan tidak terkecuali warganegara Malaysia sendiri. Negeri Selangor,Wilayah Persekutuan, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang adalah yang diantara negeri-negeri utama yang menjadi kegiatan maksiat ini termasuklah Kelantan yang juga tidak terkecuali dari kegiatan-kegiatan tidak bermoral ini.
Tetapi malangnya, walaupun tangkapan demi tangkapan dan serbuan demi serbuan telah dibuat berpuluh-puluh kali oleh pihak berkuasa namun tempat maksiat tersebut akan dibuka kembali tidak lama kemudian! Seolah- olah mereka tidak serik dan takut akan undang-undang yang dilaksanakan! Ironinya mereka yang ditangkap dan dihantar pulang akan kembali ke Malaysia dan meneruskan aktiviti yang sama! Dimanakah salahnya? Adakah terdapat kebocoran rahsia semasa serbuan dibuat, yang menyebabkan pengusaha tempat maksiat tersebut terlepas dari undang-undang atau terlepas dari didakwa?
Kita merasa amat muak apabila berkali-kali gambar berpuluh-puluh warga asing ini yang berpakaian tidak senonoh ditangkap pihak berkuasa yang di siarkan di suratkhabar dan ditayangkan sewaktu berita TV. Saban hari ada sahaja serbuan dibuat dan ditayangkan di TV. Adakah budaya sebegini yang kita mahu tayang dan dipertontonkan pada anak-anak kita? Tidak cukup lagikah dengan isu-isu membuang bayi secara berterusan? Negara kita juga telah cuba untuk dijadikan hub/pengkalan dadah antarabangsa. Apakah tugas pihak berkuasa cuma serbu, tangkap, dakwa, denda dan hantar pulang warga asing tersebut maka dianggap tugas mereka sudah selesai? Bagaimana pula pengusaha rumah urut dan pengusaha rumah pelacuran yang terdiri dari rakyat tempatan dan menjadi tauke kaya boleh terlepas tanpa didakwa? Esok atau lusa dengan segera mereka akan membuka semula tempat-tempat pelacuran dan yang tidak bermoral ini tanpa perlu rasa takut kerana “supply” senang diperolehi dengan kelonggaran visa kemasukan ke negara ini adalah terlalu mudah melalui VOA (kita bersyukur kerana VOA ini telah dibatalkan).
Apakah peranan Pihak Berkuasa Tempatan atau Majlis Daerah dan kerajaan negeri terutama di Selangor dan Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Rakyat yang terus-menerus meluluskan pusat- pusat hiburan secara semberono?
Apabila ditinjau di Lapangan Terbang Tambang Murah atau LCCT terutamanya di sebelah malam, penerbangan-penerbangan dari Tianjin, Taipei dan Hong Kong adalah begitu kerap sekali. Berduyun-duyun dan begitu riuh sekali pelancong dari tempat-tempat ini datang dimana beberapa buah bas telah siap menunggu mereka bersama dengan agen pelancongan sekali! Kadangkala kita tertanya-tanya , apakah kesemua mereka ini pelancong yang sebenar yang membawa keuntungan pada negara kita atau lebih kepada yang memudaratkan?
Menteri Pelancongan telah menetapkan target yang begitu tinggi terhadap kemasukan kadar pelancong ke Malaysia bagi tahun ini dan tahun hadapan. Laporan dalam Utusan Malaysia pada 14 Ogos 2010 melaporkan bahawa Kementerian Perlancongan menyasarkan 2 juta pelancong Cina tahun ini dengan anggaran pendapatan kira-kira RM 3 billion. Kita amat bimbang adakah Kementerian lebih mengutamakan kuantiti pelancong berbanding kualiti? Apakah jumlah pelancong yang tinggi menunjukkan Malaysia adalah destinasi pelancongan pilihan dan kita boleh berbangga dengannya? Adakah Kementerian berkenaan lebih mementingkan pendapatan berbanding keselamatan Negara? Setakat manakah pihak berkuasa kita boleh menjamin kesemua pelancong yang masuk akan balik selepas visanya tamat? Kita amat bimbang jika jumlah pelancong yang masuk ke negara ini berkurangan, tetapi bukankah sepatutnya kita perlu bimbang terhadap jumlah pelancong yang masuk ke negara ini tinggi tetapi jumlah yang keluar berkurangan? Inilah yang terjadi di Malaysia sekarang. Ramai pelancong dari China, India, Afrika, Vietnam malahan Indonesia juga hilang apabila berjaya masuk sebagai pelancong ke negara ini. Kemanakah mereka ini pergi? Adakah mereka mendapat simpati dan disembunyikan oleh rakyat tempatan? Atau mereka memang bertujuan menetap di negara ini yang merupakan lombong emas?
Kita merasakan sudah sampai masanya semua agensi kerajaan terutamanya Polis, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri mengembeling tenaga untuk menyekat kebanjiran pelancong yang tak beretika ini,mencari mereka yang hilang dan membawa dalang-dalang yang terlibat kemuka pengadilan tanpa memilih bulu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan