Isnin, 13 September 2010

SAMAN EKOR: MAHU MENDIDIK ATAU MAHU MENGHUKUM?


Kita perlu melihat mengapakah saman atau saman ekor di kenakan kepada pengguna jalan raya. Sudah semestinya saman dikeluarkan adalah sebagai denda kerana kesalahan trafik atau lalu lintas. Ini adalah supaya kita sebagai pengguna jalanraya akur dengan undang-undang yang dilaksanakan. Walaubagaimana pun cara saman ekor dikenakan adalah perlu dipertikaikan kerana pihak polis menggunakan segala kreativiti yang ada bagi menghalakan kamera untuk menyaman pengguna secara bersembunyi disebalik tiang jejambat lebuhraya, dicelah-celah pokok atas bukit, ditebing- tebing lebuhraya atau jalan Persekutuan dan yang terbaru pengguna jalanraya diintip pula dari atas menara seumpama pondok di persisiran lebuhraya! Adakah kesalahan trafik dianggap suatu jenayah yang amat berat maka perlu kita memerangkap secara besembunyi dan diintip?
Mengapakah kamera untuk menyaman ini perlu disembunyikan untuk memerangkap pesalah trafik? Akibatnya tanpa disedarai kita akan menerima saman ekor selepas beberapa minggu malah beberapa bulan!Dimana kita ketika itu pun mungkin sudah tidak dapat diingat. Kita merasakan sudah sampai masanya pihak polis harus menyatakan dengan jelas lokasi kameranya dan papan tanda amaran adanya sekatan jalanraya. Adakan sekatan jalanraya selepasnya untuk terus menyaman pemandu yang terbukti salah masa itu juga tanpa menunggu berminggu atau berbulan –bulan!Dengan ini saman ekor tidak lagi diperlukan. Pihak polis haruslah telus dalam sebarang tindakan. Kita tidak tahu apakah dasar pihak polis menyaman pesalah trafik secara tersembunyi ini, adakah untuk mendidik dan beri pengajaran atau lebih kepada mahu menghukum pengguna jalanraya! Kita masih ingat suatu masa dahulu pesalah trafik telah ditangkap dirumah didepan keluarga dan digari kerana cuma kesalahan jalanraya!
Diluar negara, dengan mengambil beberapa contoh seperti di London, England dan Dublin, Ireland misalnya jika kesalahan pertama dilakukan kita akan dinasihatkan dan diberi amaran. Mereka tidak terus menghukum dan juga tidak wujud anggota polis yang bersembunyi dengan kameranya dicelah- celah tiang hanya untuk mengenakan saman ekor! Sesuatu yang baik dari luar negara perlu kita belajar dan ambil iktibar bagaimana mereka mengurangkan kadar kemalangan jalanraya dan mendidik pengguna jalanraya. Di Indonesia, dibandar besar seperti di Jakarta atau di Makassar,Sulawesi kenderaannya terlalu banyak dan bersesak –sesak sepanjang hari tetapi jarang berlaku kemalangan yang besar dan teruk. Di sana tidak ada saman ekor pun.
Kita ingin bertanya pihak berkuasa atau Jabatan Polis, apakah sejak saman ekor diperkenalkan beberapa tahun lalu, kadar kemalangan jalanraya telah berkurangan atau telah menurun? Kita tidak nampak saman ekor telah mengurangkan kadar kemalangan jalanraya di Malaysia malah saman ekor telah membebankan rakyat dengan kadar denda yang amat tinggi iaitu RM 300.00! Tidak cukup dengan itu, kini kita pula dibebankan, menyusahkan dan bertambah malang lagi dihukum pula oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) dengan menyenarai hitamkan pengguna jalanraya tersebut. Apakah dengan denda yang tinggi dan hukuman ini , kita yakin kadar kemalangan akan menurun dan pengguna jalanraya akan lebih berhemah? Tetapi kemungkinan yang wujud ialah mereka akan berada dijalanraya tanpa lesen dan cukai jalan!
Pihak berkuasa terutama Jabatan Polis harus mengambil pendekatan mendidik pengguna jalanraya dan bukan menghukum mereka dengan saman ekor dan denda yang amat tinggi dalam keadaan ekonomi yang merudum sekarang. Kita juga difahamkan terdapat berjuta ringgit saman ekor yang tidak dibayar kerana mereka tidak mampu. Pihak berkuasa perlulah bertimbang rasa dengan meminimakan denda ini kerana rakyat perlu didahulukan!
Pihak polis dan kereta peronda hendaklah sentiasa berada dan rajin meronda di jalan-jalan persekutuan dan lebuhraya –lebuhraya dilokasi-lokasi tertentu yang jelas supaya pengguna dapat merasai kehadiran mereka. Ini dapat mengekang pemandu- pemandu yang tidak berhemah , samseng jalanan dan mengurangkan kadar jenayah terutamanya dimusim perayaan seperti Hari Raya yang bakal menjelma. Nasihat dan teguran boleh terus dibuat jika berlaku kesalahan dan saman mungkin pilihan yang terakhir tetapi bukan saman ekor!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan